DEMOKRASI, MULTI PARTI, PERANAN WANITA & KEDUDUKAN NON-MUSLIM
Dr Yusuf Qardhawi
Fiqah Daulah Dalam Perspektif Al Quraan dan Sunnah
Islam dan Demokrasi
Ada sebuah pertanyaan yang disampaikan seseorang dari Algeria kepada kami:
Saya tidak boleh menyembunyikan keterkejutan dan kehairanan tatkala mendengar sebahagian orang yang dikenali sangat bersemangat, yang sebahagian di antara mereka juga menisbatkan diri kepada beberapa jemaah Islam, bahawa demokrasi tidak diakui Islam.
Bahkan sebahagian ulama ada yang berpendapat bahawa demokrasi adalah kekufuran. Alasannya, kerana demokrasi bererti pemberian wewenang kepada rakyat untuk menetapkan hukum. Padahal rakyat dalam Islam bukan yang menetapkan hukum, tetapi Allah-lah yang menentukan hukum sebagaimana firman-Nya:
"Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah" (Al-An'am: 57).
Hal ini seperti yang dikatakan golongan Khawarij yang terdahulu, yang kemudian dibantah Ali bin Abu Talib dengan berkata,
"Kata-kata yang benar namun dimaksudkan batil."
Sementara sudah berkembang pendapat di kalangan penganut faham liberal dan para penyeru kebebasan, bahawa Islam merupakan musuh demokrasi, pembela kediktatoran dan otoriter.
Benarkah Islam merupakan musuh demokrasi? Benarkah demokrasi merupakan bahagian dari kekufuran atau kemungkaran seperti anggapan sebahagian orang yang berpendapat seperti itu? Ataukah yang seperti ini hanya sekadar pendapat yang diatasnamakan Islam, padahal Islam terlepas dari pendapat itu?
Masalah ini perlu dijelaskan secara tepat oleh para ulama yang moderat, tidak cenderung untuk meremehkan dan juga tidak terlebih-lebihan, agar masalahnya boleh diletakkan secara sebenar, agar Islam tidak memikul kesalahan pentafsiran yang tidak benar, sekalipun keluar dari kalangan ulama.
Sebab bagaimana pun juga, mereka boleh salah dan boleh benar. Kami memohon kepada Allah agar Anda berkenan menampakkan kebenaran berdasarkan dalil-dalil syariat, menjelaskan mana yang benar mengenai masalah ini, membuang subahat dan menegakkan hujah.
Inilah jawapan kami:
Memang sangat disayangkan kerana masalah ini dicampur aduk sedemikian rupa, yang haq dan yang batil dicampurkan oleh orang-orang Muslim secara umum dan orang-orang yang berbicara atas nama agama secara khusus, sehingga kemudian muncul pertanyaan-pertanyaan seperti yang Anda sampaikan di atas.
Tidak hairan jika kemudian tuduhan kufur atau fasik begitu mudah dilemparkan kepada seseorang. Seakan-akan dalam pandangan syariat tuduhan ini tidak dianggap dosa besar, yang justeru tuduhan ini lebih layak dialamatkan kepada orang yang melemparkan tuduhan kepada orang lain, seperti yang disebutkan di dalam hadis sahih.
Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan ini bukan sesuatu yang aneh bagi kami. Sebab pertanyaan-pertanyaan serupa tidak hanya diajukan sekali dua kali tatkala kami sedang berada di Algeria, juga dengan pengungkapan yang begitu jelas: Apakah demokrasi merupakan kekufuran?
Selepas menyampaikan ceramah pada beberapa pekan yang lalu di Lebanon, tepatnya di kota Shaida, ada beberapa pertanyaan yang diajukan kepada kami, di antaranya tentang bergabungnya Parti Refah Islam di Turki dengan hukum sekular demokrasi.
Kami sampaikan jawapan kepada penanya, bahawa hukum di sini mesti diasaskan kepada fiqah muwazanah (perimbangan).
Jika dilihat ada kemaslahatan bagi Islam dan kaum Muslimin boleh terwujud, maka penggabungan tersebut diperbolehkan.
Penanya ini berkata lagi,
"Bagaimana mungkin bergabung dengan hukum seseorang yang berfaham demokrasi dan ideologinya disebut kufur? Tolong huraian masalah ini!"
Hukum tentang Sesuatu Merupakan Cabang dari Konsepsinya
Yang sangat menghairankan, ada sebahagian orang yang menghukumi demokrasi sebagai kekufuran yang jelas dan pasti. Padahal dia belum tahu secara tepat apa itu demokrasi, belum menyusup ke inti pengertiannya dan substansinya, tanpa tertipu oleh gambaran dan intisarinya.
Kaedah yang sudah disepakati para ulama kita terdahulu adalah:
"Hukum tentang sesuatu merupakan cabang dari konsepsinya."
Barangsiapa menetapkan hukum tentang sesuatu padahal dia tidak mengetahuinya secara pasti, maka ketetapan hukumnya ini dianggap cacat, sekalipun mungkin secara kebetulan benar. Sebab tindakan ini seperti lemparan yang tidak diketahui siapa yang melempar. Oleh kerana itu disebutkan dalam sebuah hadis sahih, bahawa hakim yang menetapkan hukum tanpa mengetahui masalahnya, akan berada di neraka, seperti orang yang mengetahui kebenaran namun menetapkan yang lain.
Apakah demokrasi seperti yang digembar-gemburkan semua bangsa di dunia, yang dibela oleh semua golongan yang ada di Barat dan di Timur, yang dicapai pelbagai bangsa setelah berperang mati-matian melawan penguasa diktator, sehingga banyak darah yang tertumpah, beribu-ribu dan bahkan berjuta-juta orang jatuh menjadi korban, seperti yang terjadi di Eropah Timur dan tempat-tempat lainnya, yang dilihat orang-orang Muslim sebagai cara yang paling ampuh untuk melawan dominasi kekuasaan peribadi dan politik seperti yang dialami beberapa negara Arab dan Islam, apakah demokrasi ini termasuk kemungkaran atau kekufuran seperti yang dilontarkan sebahagian orang yang berfikiran dangkal?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Considering the fact that it could be more accurate in giving informations.
who's this?
Post a Comment